Blog perkongsian ilmu isu-isu kontemporari dalam pendidikan Matematik di Malaysia khususnya.
Wednesday, December 23, 2015
Budaya Sekolah - HARI GRADUASI
Tahun pertama mengajar, 2010, Cikgu Nona rasa kagum dengan satu program sekolah yang dinamakan Hari Graduasi. Kagum kerana era Cikgu Nona belajar, nak pakai jubah graduasi perlulah habiskan pelajaran di peringkat diploma atau ijazah. Kalau tak sambung belajar selepas SPM, memang tak merasa memakai jubah hikmat tersebut. Graduasi seerti dengan konvokesyen. Perbezaannya Hari Graduasi diadakan sebelum peperiksaan SPM, manakala Majlis Konvokesyen diadakan selepas pelajar menamatkan pelajaran di universiti dan memenuhi syarat kelayakan konvokesyen.
Namun, Hari Graduasi di sekolah mempunyai matlamat tersendiri. Hari Graduasi merupakan acara tahunan kepada murid tingkatan 5 yang bakal menduduki SPM dan akan meninggalkan sekolah. Hari ini dianggap mempunyai aura tersendiri. Pemakaian jubah, dan acara penyerahan sijil graduasi diharapkan memberi semangat dan motivasi kepada murid untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam peperiksaan SPM supaya mereka nanti dapat memakai jubah dengan suasana graduasi yang sebenarnya.
Kebiasaannya majlis ini diadakan di hotel berdekatan dengan sekolah. Namun pada tahun ini, Hari Graduasi sekolah Cikgu Nona diadakan buat julung kalinya di sekolah. Malangnya, Cikgu Nona tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana perlu menghadiri kelas. Walaupun demikian, kemeriahannya tetap Cikgu Nona rasa kerana persiapan akhir bermula seminggu sebelum majlis lagi. Kerjasama guru-guru dan murid-murid dalam menjayakan program ini amat membanggakan. Semoga acara ini terus berjalan lancar tahun demi tahun dengan penambah baikan.
Budaya Sekolah - PERSEDIAAN PEPERIKSAAN DI SAAT AKHIR
Bulan Oktober hingga Disember merupakan bulan yang paling getir bagi setiap murid dan guru. Pada ketika ini, murid tingkatan 3 akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) manakala murid tingkatan 5 akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kedua-dua peperiksaan ini merupakan kemuncak pembelajaran selama 3 dan 5 tahun di sekolah menengah. Keputusan peperiksaan itu nanti bakal memberi kesan tersendiri terhadap murid. Keputusan peperiksaan PT3 yang baik akan memberikan peluang kepada murid ke sekolah yang lebih baik seperti sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan kolej vokasional. Keputusan SPM pula akan menentukan nasib murid tersebut untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi. Ia akan mempengaruhi kelayakan kursus yang ingin diambil. Walaupun impak kedua-dua peperiksaan lebih besar kepada murid, namun guru-guru sama-sama berusaha dalam mencapai keputusan peperiksaan yang baik
Menjadi budaya di sekolah Cikgu Nona, di SMK Rantau Panjang, Klang guru dan murid berusaha sehingga ke saat akhir sebelum peperiksaan. Guru-guru di sini sedia berkorban masa dan perkara lain demi membantu murid di saat akhir. Pada pengamatan Cikgu Nona sendiri, di saat akhir inilah murid lebih mudah menerima apa yang guru sampaikan dengan kata lain cepat pick up. Guru-guru mata pelajaran kebiasaannya akan mengatur kelas dengan murid mereka mengikut jadual yang dipersetujui oleh guru-guru mata pelajaran yang mengajar satu-satu kelas. Sehari sebelum peperiksaan (***walaupun hari Ahad), guru-guru akan meluangkan masa dengan murid membuat ulangkaji kali terakhir atau panitia Cikgu Nona akan panggil program ini sebagai Pecutan Akhir. Murid akan mempunyai peluang berbincang masalah dengan guru mahu pun rakan lain.
Begitulah yang dinamakan guru. Semoga usaha murni guru-guru sentiasa diberkati Allah dan diakhiri dengan kejayaan anak-anak didik.
Kehadiran murid yang menggalakkan. |
Murid membuat latih tubi sebagai pecutan akhir. |
MENGAPA PERLU ICT DALAM PdP?
Sejajar dengan perkembangan teknologi, guru perlu mengubah pendekatan pengajaran. Pengajaran berbantukan ICT dalam Matematik tidak dapat dinafikan kebaikannya dan potensi dalam meningkatkan pencapaian, minat, sikap dan persepsi mereka terhadap Matematik. Guru perlu sedar bahawa pelanggan guru masa kini adalah murid daripada generasi Z (murid sekolah rendah dan menengah). Mereka telah mula melayari internet dan web seiring
dengan usia mereka sejak mereka masih belum bercakap. Generasi Z telah
dibimbing dan digalakkan oleh ibu bapa menggunakan dunia laman sosial sejak
kecil lagi. Dengan kata lain, generasi Z membesar di dalam dunia yang semuanya
berhubung menerusi teknologi sejak dari awal lagi. Mereka merupakan generasi digital. Justeru, penting bagi guru memastikan pendekatan yang digunakan bersesuaian dengan latar belakang dan amalan murid.
(Sumber : Youtube)
Banyak kajian mengenai kaedah pengajaran berbantukan ICT menunjukkan dapatan positif. Ayu Erlina dan Effandi Zakaria (2014) mendapati
murid yang diajar menggunakan Geogebra
mempunyai pemahaman konsep dan daya ingatan yang lebih berbanding murid yang
belajar secara konvensional. Hairiah Munip (2012) mendapati pengajaran
berbantukan komputer mampu menggalakkan murid belajar dengan aktif dan lebih
berkeyakinan. Perisian-perisian matematik seperti Geometer’s Sketchpad dan
Geogebra juga memberi impak
tersendiri kepada murid. Penggunaan perisian-perisian ini memberi kesan yang
positif terhadap kefahaman konsep matematik (Endang Istikomah & Nor Sakinah
Mohamad, 2013 ; Hutkemri & Effandi Zakaria, 2014), pencapaian (Azlina Mohd
Kosnin & Suhaila Abdullah, 2008), minat (Nor Hayati Mt Ali, 2012) dan persepsi
( Haryani Hamid & Norhayati Ismail, 2012).
Dapatan menunjukkan murid menerima dengan baik penggunaan ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Walaupun guru bukan dalam kalangan generasi Z yang lahir dalam era digital, namun guru perlu berusaha mendalami dan mempraktikkan penggunaan ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
***Nota generasi :
Tapscott (2008) dalam bukunya Grown Up Digital membahagikan demografi penduduk kepada beberapa kelompok berikut:
1. Pre Baby Boom (lahir pada 1945 dan sebelumnya)
2. The Baby Boom (lahir antara 1946 – 1964)
3. The Baby Bust (lahir antara 1965 – 1976) – Generasi X
4. The Echo of the Baby Boom (lahir antara 1977 – 1997) – Generasi Y
5. Generation Net (lahir antara 1998 hingga 2009) – Generasi Z
6. Generation Alpha (lahir pada 2010) – Generasi A
Rujukan :
Ayu Erlina & Effandi Zakaria. (2014). Kesan
keupayaan perisian Geogebra ke atas keupayaan penyelesaian masalah dan
pencapaian matematik pelajar. Jurnal
Pendidikan Matematik, 2, 51 – 64.
Azlina Mohd Kosnin & Suhaila Abdullah. (2008).
Kesan pengajaran berbantukan Geometer’s Skechpad terhadap pencapaian pelajar
dalam topik transformasi. Kertas kerja Seminar
Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik. Universiti Teknologi Malaysia,
11 – 12 Oktober.
Endang Istikomah & Nor Sakinah Mohamad (2013).
Kesan penggunaan perisian Geometer’s Sketchpad ke atas kefahaman konsep
matematik pelajar. Jurnal Pendidikan
Matematik, 1(2), 1-13.
Hairiah Munip. (2012). Apikasi pendekatan
konstruktivisme dalam reka bentuk pengajaran berasaskan komputer : pengaruhnya
terhadap pencapaian berdasarkan aras kognitif pelajar. Science Education, 1, 100 – 118.
Haryani Hamid & Norhayati Ismail. (2012). Kajian
persepsi penerimaan dan perlakuan pelajar terhadap perisian Geogebra. Diperoleh pada November 23,
2015 daripada http://ecrim.ptsb.edu.my/file/20141106092627.pdf
Hutkemri & Effandi Zakaria. (2014). Impact of
using Geogebra on students’ conseptual and procedural knowledge of limit
function. Mediterranean Journal of Social
Science, 5(23), 873 – 882.
Nor Hayati Mt Ali. (2012). Pengajaran dan pembelajaran
matematik berbantukan komputer : keberkesanan perisian The Geometer’s Sketchpad
untuk tajuk penjelmaan. Diperoleh pada November 20, 2015 daripada http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/seminarpapers/2003/norhayatiIPDAkk.pdf
Taspcott, Don (2008). Grown up digital: how the net generation is changing your world.
McGraw-Hill.
FLIPPED CLASSROOM.
Flipped classroom ialah satu konsep pedagogi yang
menggantikan kuliah dalam kelas dengan peluang-peluang untuk meneroka dan
mengkaji bahan-bahan yang di luar bilik darjah melalui klip video dan bacaan.
Masa pengajaran satu hala berubah menjadi persekitaran pembelajaran
bimbingan-inkuiri yang berpusatkan pelajar di mana pelajar digalakkan untuk
melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti seperti pembinaan
pengetahuan, perbincangan kolaboratif dan penyelesaian masalah.
Flipped classroom merupakan strategi yang mengurangkan
jumlah arahan langsung guru dalam amalan mengajar mereka sambil memaksimumkan
interaksi satu sama lain. Strategi ini menggunakan teknologi yang menyediakan
tambahan yang menyokong bahan pembelajaran bagi pelajar yang boleh diakses
secara online. Hal ini membebaskan waktu kelas yang sebelumnya telah digunakan
untuk pembelajaran.
Guru menerima pakai model flipped classroom untuk memberikan
pembelajaran kelas atau kandungan pengajaran sebagai pekerjaan rumah. Dalam
persiapan untuk kelas, pelajar diwajibkan untuk melihat video pembelajaran.
Pelajar memanfaatkan masa di kelas untuk bekerja menyelesaikan masalah,
pembangunan konsep, dan terlibat dalam pembelajaran kolaboratif.
Konsep penting flipped classroom adalah kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang DITERBALIKKAN daripada kaedah tradisional. Perbezaan
kedua-dua kaedah ini adalah seperti gambaran berikut :
SEJAUH MANAKAH KAEDAH LATIH TUBI MASIH RELEVAN DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK?
Banyak kajian terhadap kaedah pengajaran berkesan.
Kajian-kajian eksperimental sering membandingkan kaedah alternatif seperti
inkuiri, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah,
pembelajaran koperatif, pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dengan
kaedah konvensional yang sering dipraktikkan oleh guru-guru. Adakah ini
bermaksud kaedah konvensional tidak lagi sesuai dengan peredaran masa kini?
Dalam proses pembelajaran dan pengajaran Matematik, kaedah latih tubi merupakan
strategi dalam kaedah konvensional yang sering digunakan oleh guru.
Pakar motivasi dan juga bekas Pensyarah Cemerlang Gred Khas
JUSA B, Dr. Ismail Zain berkata, bentuk pembelajaran seperti latihan latih tubi
masih relevan dan terbukti berkesan meningkatkan penguasaan pelajar terhadap
sesuatu mata pelajaran berdasarkan kajian pendidikan yang dijalankan sebelum
ini. Konsep belajar latih tubi ini juga membantu pelajar menguasai bahan-bahan
melalui self paced dan self directed atau pembelajaran terarah kendiri yang
merupakan salah satu ciri-ciri pembelajaran bestari (Utusan Malaysia, 2014)
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Anuar Ahmad, menyatakan ada beberapa perkara yang menjadikan sekolah Cina
begitu cemerlang dalam Matematik dan Sains. Antara faktor utama adalah bentuk
pengajaran latih tubi lebih banyak ditekankan berbanding sekolah kebangsaan.
Seorang murid darjah empat misalnya, akan diarahkan oleh guru membuat latih
tubi matematik antara 50 hingga seratus soalan setiap hari. Di peringkat darjah
enam pula, sebuah buku tulis latihan matematik yang mengandungi 100 muka surat
akan habis digunakan dalam tempoh satu minggu sahaja (Utusan Malaysia, 2009)
Namun begitu, Noraini Idris (2001) melalui kajian dan
pemerhatian amalan pengajaran guru mendapati kaedah latih tubi boleh menjadi faktor
penghalang kepada pembelajaran berkesan. Menurut beliau, kaedah latih tubi
boleh dimurnikan dengan cara berikut :
- Pelbagaikan cara mengadakan latih tubi.
- Jangan melebihi 5 minit bagi satu sesi latih tubi.
- Jangan merangka bagaimana mendapat sesuatu jawapan.
- Beritahu pelajar tentang tujuan mengadakan latih tubi.
- Jangan menegaskan atau membandingkan markah antara pelajar.
Rujukan :
Mohd Khuzairi Ismail.(24 November, 2009). Mencontohi kelebihan sekolah Cina. Diperoleh pada
Disember 22, 2015 daripada
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp=2009&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz3v9qw4rmb
Noraini Idris. (2001). Pedagogi dalam pendidikan Matematik.
Kuala Lumpur : Utusan Publication.
Utusan Malaysia. (23 Jun, 2014). Tepati pembelajaran abad-21. Diperoleh pada Disember 22, 2015 daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140623/pe_01/Tepati-pembelajaran-abad-ke-21
Bahan Bantu Mengajar - Matematik **PART 2
Cikgu Nona sambung lagi entry sebelum ini. Banyak sebenarnya nak kongsi, tapi kekangan masa dan tangan untuk menaip. Kali ini, 3 lagi bahan menarik untuk ditatap. Cikgu-cikgu boleh nilaikan sendiri kebaikan atau kelemahan bahan-bahan ini.
1- Jenga
Cikgu pernah main Jenga? Kalau tak kenal Jenga, mungkin cikgu kenal UNO STACKO. Ini permainan Cikgu Nona masa kecil dulu. Jenga boleh jadi BBM tau. Permainan boleh dijalankan dalam kumpulan. Pada setiap blok kayu, perlu ditampalkan satu soalan daripada topik pembelajaran. Murid mencabut secara rawak blok kayu, menjawab soalan blok kayu dan meletakkan blok kayu tadi di kedudukan baru. Kumpulan yang menjawab bilangan soalan terbanyak dengan betul sebelum Jenga runtuh dikira sebagai pemenang.
****Kalau guna Jenga yang asli memang mahal dan sayang juga nak guna dalam kelas. Cikgu Nona beli di Tesco sahaja, lebih kurang RM 15 satu set. Murah kan, kan, kan?
Soalan ditampal pada setiap blok kayu |
Blok kayu yang telah dicabut perlu disusun semula di bahagian atas. |
2- MATCHING PLATE
Bahan ini Cikgu Nona yang namakan sendiri sebab tak jumpa nama. Idea Cikgu Nona dapat daripada internet. Bahan yang diperlukan cuma kertas berbentuk bulatan dan penyepit baju yang tidak digunakan. Cikgu boleh letakkan soalan dalam bulatan, murid dalam pasangan atau kumpulan akan memadankan jawapan (pada penyepit baju) dengan soalan pada kertas bulatan. Cikgu boleh memberi trick kepada murid dengan menetapkan satu jawapan yang salah untuk menilai tahap menilai murid.
***Cikgu Nona baru terfikir, cara mudah nak dapatkan bulatan ialah dengan menggunakan pinggan polistrene. Idea itu Cikgu Nona akan buat lain kali.
Contoh Matching Plate untuk tajuk Indeks |
3- DADU GERGASI
Cikgu-cikgu kebiasaannya menggunakan contoh balingan dadu dalam tajuk Kebarangkalian. Kalau gunakan dadu kecil, kebarangkalian dadu hilang adalah tinggi. Kerap kali berlaku dalam kelas Cikgu Nona. Jadi, sebagai alternatif, cikgu-cikgu boleh meminta murid membina sendiri atau boleh gunakan kepingan-kepingan huruf seperti rajah berikut. Memang puas gunakan dadu gergasi ini.
Kepingan nombor |
Dadu Gergasi |
Selamat mencuba cikgu-cikgu.
Bye !!
Bahan Bantu Mengajar - Matematik
Cikgu Nona ingin kongsikan beberapa idea dalam mempelbagaikan bahan bantu mengajar (BBM). Sebagaimana yang guru-guru maklum, BBM mampu meningkatkan minat dan motivasi murid untuk belajar. Idea-idea ini Cikgu Nona perolehi hasil pembacaan terutama daripada internet. Sebahagiannya telah saya laksanakan dan terbukti, murid teruja belajar menggunakan BBM tersebut. Sebahagian lagi, belum dilaksanakan. In Shaa Allah, tahun hadapan. Selamat mencuba cikgu-cikgu!!
1- TARSIA PUZZLE
Bahan ini seperti teka silangkata, tapi dalam pelbagai bentuk geometri. Murid perlu memadankan soalan dan jawapan yang sepadan berdasarkan konsep yang dipelajari. Sesuai dilakukan sebagai aktiviti kumpulan. Kebiasaannya, Cikgu Nona lakukan sebagai set induksi untuk mengimbas semula pelajaran lalu.
Kedudukan soalan dan jawapan dalam Tarsia Puzzle mesti bertentangan pada kepingan yang berbeza. |
Contoh Tarsia Puzzle berbentuk segi tiga. Puzzle ini menguji tajuk Ungkapan Algebra. |
Contoh lain susunan Tarsia Puzzle |
2- PLACEMAT
Bahan ini seperti peta minda. Setiap murid perlu memberi idea atau jawapan mengikut kesesuaian konsep yang sedang diajar. Aktiviti boleh dimulakan dengan memerhatikan dan memahami idea utama di bahagian tengah placemat. Setiap ahli kumpulan secara serentak memberi idea atau jawapan mereka di ruangan disediakan, satu ruangan bagi setiap murid.
Contoh penggunaan placemat dalam tajuk Ungkapan Algebra. |
3- PERMAINAN KABOOM
Aktiviti ini berbentuk permainan secara berpasangan atau berkumpulan. Cikgu Nona gunakan beberapa batang aiskrim dan satu cawan polistrene sebagai BBM. Setiap batang aiskrim akan dilekatkan dengan soalan bagi tajuk pembelajaran, tetapi terdapat satu batang aiskrim dilabel 'KABOOM'. Murid pertama akan memilih dan menjawab soalan yang dicabut secara rawak. Pasangan akan menyemak jawapan dan memberikan markah (**2 markah setiap soalan betul, 0 jika salah). Murid pertama dan kedua bertukar peranan sehingga masa ditetapkan oleh guru tamat. Oh ya. Apa yang jadi kalau murid dapat 'KABOOM'??? Jika, batang aiskrim dengan perkataan 'KABOOM' diperoleh, keseluruhan markah murid akan dihilang ' burn '. Hihi. Apabila masa tamat, pemenang ditentukan melalui markah terbanyak. Kalau cikgu nak tambah kemeriahan, boleh beri ganjaran kepada pemenang.
Contoh yang pernah saya buat. Apabila permainan bermula, bahaian atas itu perlu diletakkan ke bahagian bawah ye. |
In Shaa Allah Cikgu Nona akan kongsikan lagi beberapa idea lain di lain ruangan.
Bye =)
Monday, September 28, 2015
PEMBELAJARAN KOPERATIF : Struktur Rally Table
Sunday, September 27, 2015
PEMBELAJARAN KOPERATIF : Definisi dan Prinsip
Pembelajaran koperatif menekankan interaksi antara pelajar dengan pelajar dengan guru bertindak sebagai fasilitator. |
Johnson dan Enderson (1976) menyatakan pembelajaran koperatif merupakan
satu kaedah yang mengkehendaki pelajar bersama-sama dalam menyiapkan satu
tugasan bagi setiap kumpulan. Ahli kumpulan akan saling bantu-membantu memberi
penerangan sesama mereka dan tidak bergantung kepada guru. Guru akan memberi
pujian kepada kumpulan yang yang menunjukkan hasil akhir yang memuaskan.
Ted Panitz (1996) menyatakan pembelajaran koperatif
merupakan satu set proses yang membantu pelajar berinteraksi bersama untuk
mencapai matlamat atau membina hasil akhir yang
ada kaitan dengan isi kandungan mata pelajaran.
Mengikut Kamus Dewan (1998), koperatif bermaksud
kerjasama. Pembelajaran koperatif merujuk kepada pembelajaran yang menggalakkan
pelajar belajar bersama, berkongsi maklumat, bertukar pendapat dan berinteraksi
antara satu sama lain dalam bentuk kumpulan kecil.
Kesimpulannya, pembelajaran koperatif merupakan satu
pendekatan pengajaran yang memerlukan pelajar bekerjasama dan berperanan tertentu
dalam kumpulan kecil untuk menyiapkan tugasan diberi ke arah mencapai hasil
pembelajaran yang ditetapkan guru.
Mengikut Kagan, tidak semua aktiviti berkumpulan boleh
digolongkan sebagai pembelajaran koperatif melainkan struktur yang digunakan
memenuhi keempat-empat prinsip PIES iaitu :
P Pergantungan positif (Positif interdependence)
I Akauntabiliti individu (Individual accountabilitiy)
E Penglibatan seimbang/sama (Equal participation)
S Interaksi serentak (Simultaneous interaction)
Terdapat lebih daripada 60 struktur pembelajaran
koperatif yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam proses pembelajaran dan
pengajaran (PdP). Beberapa struktur akan dibincangkan dalam entri akan datang.
Beberapa contoh struktur pembelajaran koperatif. |
Rujukan :
Ismail Said
(2009). Kaedah Pemelajaran Koperatif
Sekolah Rendah. Shah Alam : Karisma Publication Sdn Bhd.
Shukeri
Hamzah (2012). Pembelajaran Koperatif.
Di muat turun daripada http://elearnmap.ipgkti.edu.my/resource/gkb1053/sumber/koperatif%20dan%20kolaboratif.pdf
Thursday, September 24, 2015
Hello in September !!
TESTING..TESTING..
Yeahhhh!! Tapak blog sudah pun siap. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan membangunkan tapak blog yang tidak pernah saya jangka bahawa saya akan memilikinya. Isi blog masih dalam proses pencarian dan pemilihan bahan. Jumpa di entri akan datang.
"saya blogger baru belajar,
silap dan salah sila beri tunjuk ajar"
Yeahhhh!! Tapak blog sudah pun siap. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan membangunkan tapak blog yang tidak pernah saya jangka bahawa saya akan memilikinya. Isi blog masih dalam proses pencarian dan pemilihan bahan. Jumpa di entri akan datang.
"saya blogger baru belajar,
silap dan salah sila beri tunjuk ajar"
Subscribe to:
Posts (Atom)