|
Pembelajaran koperatif menekankan interaksi antara pelajar dengan pelajar dengan guru bertindak sebagai fasilitator. |
Johnson dan Enderson (1976) menyatakan pembelajaran koperatif merupakan
satu kaedah yang mengkehendaki pelajar bersama-sama dalam menyiapkan satu
tugasan bagi setiap kumpulan. Ahli kumpulan akan saling bantu-membantu memberi
penerangan sesama mereka dan tidak bergantung kepada guru. Guru akan memberi
pujian kepada kumpulan yang yang menunjukkan hasil akhir yang memuaskan.
Ted Panitz (1996) menyatakan pembelajaran koperatif
merupakan satu set proses yang membantu pelajar berinteraksi bersama untuk
mencapai matlamat atau membina hasil akhir yang
ada kaitan dengan isi kandungan mata pelajaran.
Mengikut Kamus Dewan (1998), koperatif bermaksud
kerjasama. Pembelajaran koperatif merujuk kepada pembelajaran yang menggalakkan
pelajar belajar bersama, berkongsi maklumat, bertukar pendapat dan berinteraksi
antara satu sama lain dalam bentuk kumpulan kecil.
Kesimpulannya, pembelajaran koperatif merupakan satu
pendekatan pengajaran yang memerlukan pelajar bekerjasama dan berperanan tertentu
dalam kumpulan kecil untuk menyiapkan tugasan diberi ke arah mencapai hasil
pembelajaran yang ditetapkan guru.
Mengikut Kagan, tidak semua aktiviti berkumpulan boleh
digolongkan sebagai pembelajaran koperatif melainkan struktur yang digunakan
memenuhi keempat-empat prinsip PIES iaitu :
P Pergantungan positif (Positif interdependence)
I Akauntabiliti individu (Individual accountabilitiy)
E Penglibatan seimbang/sama (Equal participation)
S Interaksi serentak (Simultaneous interaction)
Terdapat lebih daripada 60 struktur pembelajaran
koperatif yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam proses pembelajaran dan
pengajaran (PdP). Beberapa struktur akan dibincangkan dalam entri akan datang.
|
Beberapa contoh struktur pembelajaran koperatif. |
Rujukan :
Ismail Said
(2009). Kaedah Pemelajaran Koperatif
Sekolah Rendah. Shah Alam : Karisma Publication Sdn Bhd.
Shukeri
Hamzah (2012). Pembelajaran Koperatif.
Di muat turun daripada http://elearnmap.ipgkti.edu.my/resource/gkb1053/sumber/koperatif%20dan%20kolaboratif.pdf